Kalau
anda seorang yang sukakan ketenangan ketika melancong tanpa kesesakan
lalu lintas dan ingin mendekatkan diri dengan alam semulajadi seperti
hutan lipur, air terjun, pulau & pantai, apa kata bercuti ke tempat-tempat menarik di Terengganu yang kaya dengan destinasi pelancongan sebegini.
Kategori Pelancongan di Negeri Terengganu
Ikuti
destinasi percutian menarik di Terengganu di setiap pautan di bawah
berdasarkan kategori masing-masing yang menceritakan sinopsis ringkas
tentang sesebuah tempat percutian.
- Pantai & Alam Semulajadi di Terengganu
- Tempat Bersejarah di Terengganu
- Tarikan Zoo & Taman Haiwan di Terengganu
- Taman Tema & Aktiviti Keluarga di Terengganu
- Tempat Shopping Menarik di Terengganu
- Tempat Makan Best di Terengganu
- Kereta Sewa Di Terengganu
1. Pulau, Pantai & Alam Semulajadi di Terengganu
Kalau
bercuti ke negeri Terengganu, destinasi sebegini adalah yang paling
popular. Negeri Terengganu memang tidak dinafi mempunyai banyak tarikan
alam semulajadi yang cantik dan menarik seperti
pulau,
pantai, air terjun, hutan lipur dan sebagainya. Jom kita lihat tempat menarik di Terengganu yang paling top dalam kategori ini.
Pulau Redang
– Merupakan destinasi percutian di pulau yang top di Terengganu bahkan
di Malaysia kerana mempunyai pantai dan air laut yang membiru jernih.
Pelancong ke sini boleh melakukan aktiviti snorkeling atau scuba diving
untuk melihat keindahan terumbu-terumbu karang di sini. Di Pulau Redang
juga terdapat resort dan hotel yang cantik dan sesuai sebagai destinasi
berbulan madu. Perjalanan menaiki bot dari Jeti Shahbandar ke Pulau
Redang mengambil masa 1 jam 30 minit & dari Jeti Merang pula dalam
45 minit.
Tasik Kenyir
– Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia ini menawarkan
beberapa produk pelancongan yang menarik untuk pelancong. Hasil
terbinanya Tasik Kenyir ini adalah disebabkan pembinaan Empangan Kenyir
yang secara tidak langsung mewujudkan tasik serta taburan ratusan
pulau-pulau kecil. Antara aktiviti menarik di sekitar Tasik Kenyir yang
boleh pelancong lakukan adalah memerhati burung liar, melawat santuari
gajah, junggle trekking, menerokai gua-gua, memancing, melawat santuari
ikan kelah dan bersuka ria di Kenyir Water Park.
Pulau Perhentian –
Satu lagi destinasi pulau yang popular di Terengganu selepas Redang.
Pulau Perhentian sebenarnya terdiri daripada 2 pulau utama iaitu Pulau
Perhentian Besar & Pulau Perhentian Kecil. Kalau anda sukakan
aktiviti menyelam untuk melihat hidupan marin dan terumbu karang, Pulau
Perhentian sangat dicadangkan untuk anda bercuti. Kemudahan penginapan
seperti resort & chalet juga banyak di sini dan untuk pengetahuan
Pulau Perhentian pernah disenaraikan sebagai salah satu destinasi pantai
yang tercantik di Dunia oleh CNN.
Pulau Tenggol
– Satu lagi pulau yang menawan di Terengganu yang kecantikan air,
pantai & hidupan marinnya setanding dengan Pulau Redang & Pulau
Perhentian. Destinasi ini memang tidak asing untuk mereka yang suka
menyelam / scuba diving kerana mempunyai kawasan terumbu karang yang
cantik serta hidupan marin yang eksotik. Kalau bernasib baik penyelam
boleh berjumpa dengan ikan yu.
Air Terjun Chemerong
– Tempat mandi manda di Terengganu yang sangat popular yang terletak di
dalam Hutan Lipur Chemerong yang juga merupakan sebahagian daripada
Hutan Simpan Pasir Raja. Lokasinya yang agak pedalaman dari jalan utama
pasti menjanjikan keaslian alam flora yang masih kekal terjaga. Air
Terjun Chemerong merupakan antara air terjun yang tertinggi di Malaysia
dan di sini jugalah tempat pendaki memulakan pendakian menuju ke Gunung
Berembun sambil mandi manda di Sungai Bangang yang sangat jernih membiru
seperti di laut.
Air Terjun Sekayu
– Sebuah lagi tempat mandi manda air terjun yang popular di Terengganu
yang terletak di Kuala Berang. Air terjun bertingkat yang jernih di
kelilingi Hutan Lipur Sekayu ini memang sesuai untuk pelancong berkelah,
buat kem motivasi, berkhemah atau juga menginap di chalet di tepi air
terjunnya yang pasti memberi satu pengalaman yang berbeza. Terdapat juga
taman tema air mini yang mempunyai water slide yang sesuai untuk
kanak-kanak bersuka ria.
2. Tempat Bersejarah & Budaya di Terengganu
Tempat bersejarah di Terengganu mungkin tidak sebanyak yang ada di
Negeri Melaka
namu bagi yang ingin menyelami budaya dan sejarah tempatan negeri
Terengganu, ada beberapa destinasi yang ideal untuk anda lawati.
Muzium Negeri Terengganu
– Siapa tak kenal dengan muzium yang gah cantik ini yang juga merupakan
muzium terbesar di Asia Tenggara. Terdapat banyak galeri dan bilik
pameran yang menceritakan pelbagai informasi tentang sejarah, kesenian
& budaya orang Terengganu. Pasti yang akan paling mencuri tumpuan
anda adalah kecantikan senibina muzium ini sendiri yang sangat unik dan
besar. Tengok pada saiz bumbungnya dan bangunannya anda pasti terasa
seperti orang kerdil yang memasuki Istana Lama Melayu yang dihuni oleh
orang gergasi.
Bukit Puteri
– Lokasinya hanya bersebelahan dengan Pasar Besar Payang, Jeti Shah
Bandar & berada betul-betul di tepi muara Sungai Terengganu. Bukit
Puteri ini wujud sejak ke abad 16 lagi dan merupakan kawasan yang
strategik sebagai kubu pertahanan untuk melawan musuh dari arah laut. Di
atas Bukit Puteri ini terdapat beberapa laras meriam, rumah genta &
loceng besar yang masih kekal dari dahulu sampai sekarang. Pemandangan
dari atas Bukit Puteri ini yang menampakkan muara Sungai Terengganu
memang sangat menakjubkan.
Memorial Batu Bersurat
– Terletak di Kuala Berang, destinasi bersejarah ini merupakan tapak di
mana Batu Bersurat Terengganu dijumpai pada tahun 1887. Batu Bersurat
inilah yang menjadi bukti bahawa agama Islam telah berkembang ke
Terengganu sejak 1303 masihi lagi. Tempat ini terjaga rapi dan sesuai
sebagai destinasi untuk lawatan sambil belajar dalam menyelami sejarah
negeri Terengganu & penyebaran agama Islam khususnya.
Kota Lama Duyong
– Sekiranya anda pecinta seni & budaya asli penduduk setempat,
bolehlah singgah di sini yang menempat sebuah rumah lama yang bercirikan
senibina tradisional orang Melayu Terengganu. Rumah lama ini pernah
rosak teruk ketika banjir besar dalam tahun 1900 dan pihak Muzium Negeri
Terengganu bersama bantuan pakar-pakar tempatan telah berkerjasama
untuk memulihkan kembali rumah ini. Sering menjadi lokasi untuk wedding
photoshot & lawatan sambil belajar institusi pengajian.
Perkampungan Cina
– Merupakan satu kawasan yang pada asalnya adalah penempatan orang Cina
yang berhijrah ke sini. Tarikan di sini lebih kepada senibina bangunan
sekeliling yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dan anda boleh
melihat budaya-budaya orang Cina Terengganu di sini. Kebiasaannnya
pelancong suka berjalan di sekitar sini sambil-sambil bergambar sebagai
kenangan.
3. Zoo & Taman Haiwan di Terengganu
Destinasi yang sangat ideal untuk yang berkeluarga atau mereka yang
suka bergelumang manja-manja dengan haiwan-haiwan di Negeri Terengganu.
Zoo Kemaman
– Kalau anda bercuti ke Kemaman atau Dungun, salah satu destinasi taman
haiwan yang boleh dilawati adalah di Zoo Kemaman yang menempatkan
pelbagai haiwan liar samaada yang dibawa dari dalam negara ataupun luar
negara seperti gajah, harimau, singa, kucing hutan, buaya, tapir dan
pelbagai spesis reptilia.
Kelip-kelip Sungai Yah Yah
– Hanya terletak berdekatan dengan Zoo Kemaman, pengunjung boleh
merasai pengalaman melihat kelip-kelip di Sungai Yah Yah yang beroperasi
antara 8.00 malam sehingga 10.00 malam. Kelip-kelip di sini memang
banyak mengerumuni pokok-pokok di sepanjang sungai dan kebiasaannya
membiak antara bulan Julai – Oktober.
Santuari Kelah
– Kebiasaannya ikan kelah memang susah untuk didekati tetapi di sini
ikan kelah seperti menanti kehadiran pengunjung seolah-olah tidak sabar
nak beramah mesra. Santuari Kelah Sungai Petang terletak di Sungai
Petang, Kenyir dan anda boleh ke sini dengan menaiki bot dari Pengkalan
Gawi berjarak 16 km ( 30-40 minit perjalanan bot). Di sini terdapat
kemudahan seperti galeri, pusat pembenihan ikan, akuarium & pusat
penyelidikan ikan kelah.
Kenyir Elephant Village
– Merupakan sebuah pusat konservasi gajah yang baru dibuka pada tahun
2012. Di sini pengunjung boleh melihat telatah gajah-gajah terlatih
& jinak beraksi dengan pelatihnya yang pasti mencuit hati anak-anak.
Anda juga boleh merasai pengalaman menaiki gajah sambil ditemani
pelatih mengelilingi kawasan yang ditetapkan.
Pusat Konservasi & Penerangan Penyu
– Bagi yang ingin mendekati haiwan laut yang comel ini anda boleh
berkunjung ke pusat konservasi yang terletak di Rantau Abang, Dungun. Di
sini menempatkan pameran yang mempamerkan informasi berguna tentang
spesis-spesis penyu yang ada di Terengganu. Terdapat juga kolam-kolam
kecil yang menempatkan penyu-penyu sebelum dilepaskan di laut. Musim
penyu bertelur adalah dari Mac sehingga September setiap tahun.
4. Taman Tema & Aktiviti Berkeluarga di Terengganu
Berikut merupakan beberapa destinasi tempat menarik di Terengganu untuk melakukan aktiviti bersama keluarga dan anak-anak.
Kenyir Water Park
– Terletak di Pulau Poh di mana pengunjung perlu menaiki bot di
Pengkalan Gawi selama 10-15 minit sebelum sampai di sini. Taman tema air
ini memang sangat unik kerana di samping mempunyai kolam air di darat,
pengunjung dewasa boleh mencuba aktiviti yang mencabar dengan
permainan-permainan air di tengah tasik atau dikenali sebagai Lake
Playstation.
TTI River Cruise
– Bagi mereka yang ingin menikmati keindahan panorama di Sungai
Terengganu, anda boleh membawa keluarga untuk menaiki bot menyusuri
sungai yang bermula dari jeti di Taman Tamadun Islam. Di sepanjang
perjalanan anda boleh melihat pemandangan kampung nelayan, rumah atas
air, tempat pembuatan bot dan juga melihat keindahan Masjid Kristal.
Candat Sotong
– Aktiviti mencandat sotong merupakan satu aktiviti yang popular di
Terengganu khususnya di Marang. Kebiasaannya pelancong baik dalam dan
luar negara akan ke sini setiap tahun terutamanya antara bulan
April-Ogos bersama keluarga mahupun teman sepejabat. Bot bersama tekong
boleh disewa untuk ke lokasi mencandat iaitu di sekitar Pulau Kapas.
Dari jeti Marang ke lokasi mencandat memakan masa 30-40 minit dan
bermula dari petang sehinggalah keesokan paginya.
Pusat Akuatik MBKT
– Pusat akuatik yang bernilai RM 18 juta ini terletak di Pantai Batu
Buruk bersebelahan dengan Hospital Sultanah Nur Zahirah. Di sini
terdapat kolam mandi samaada untuk kanak-kanak mahupun untuk dewasa yang
pandai berenang. Sering menjadi kunjungan warga KT di hujung minggu
untuk beriadah bersama anak-anak.
Resort World Kijal
– Bagi yang mencari penginapan yang menarik dengan kolam renang mandi
manda yang sesuai untuk kanak-kanak, salah destinasi yang boleh anda
cuba adalah di Resort World Kijal yang terletak di Kijal, Kemaman.
Resort ini terletak di tepi pantai dan antara aktiviti lain yang boleh
anda lakukan di sini ialah bermain jetski, melihat penyu bertelur, naik
ATV, bermain golf dan sebagainya.
5. Tempat Menarik di Terengganu untuk membeli belah
Kalau bercakap pasal tempat shopping di Terengganu, tempat seperti
Pavillion shopping mall yang hebat di KL memang tiada di sini. Namun
kalau bercakap pasal membeli belah batik, sutera, songket, produk ikan
atau keropok, jawapannya memang banyak. Berikut merupakan destinasi
popular di Terengganu untuk aktiviti kegemaran kaum hawa ini.
Pasar Payang
– Semua produk negeri Terengganu boleh didapati di sini baik makanan
seperti keropok keping, keropok sira, keropok lekor, ikan masin,
serunding ataupun produk kraftangan seperti batik, songket, sutera,
hasil tenunan, produk tembaga dan sebagainya. Lokasinya juga strategik
dengan beberapa tarikan lain seperti Kampung Cina, Bukit Puteri, Dataran
Shahbandar, Pulau Warisan & Bazar Warisan.
Kompleks Kraf Noor Arfa
– Jenama Noor Arfa memang tidak asing lagi kalau sebut pasal produk
batik. Di sini terdapat pelbagai jenis batik yang boleh didapati dan
pengunjung juga boleh melihat atau merasai sendiri sendiri pengalaman
bagaimana proses pembuatan batik seperti mencanting dilakukan.
Desa Murni
– Desa Murni merupakan satu nama pembekal kain yang cukup gah di
Terengganu yang sering menjadi kunjungan pelancong untuk mendapatkan
produk-produk fabrik dan juga membeli cenderahati seperti sutera dan
batik. Terdapat beberapa cawangan di Terengganu seperti di Kuala
Terengganu, Kuala Dungun & juga di Chukai, Kemaman.
Pusat Budaya Kraf Terengganu (PBKT)
– Bagi yang ingin mencari produk kraftangan Terengganu baik batik,
songket, barangan tembaga, anyaman, ukiran kayu dan sebagainya, apa kata
anda ke sini. Terletak di Chendering dan hanya 15 minit memandu dari
Bandar Kuala Terengganu. Di sini juga pengunjung boleh melihat pameran
tentang kesenian produk kraf Terengganu dan juga berpeluang melihat
sendiri bagaimana sesuatu produk dihasilkan. Kalau anda inginkan sesuatu
produk kraf yang unik, boleh buat tempahan khas di sini.
Bazar Warisan
– Bagunan yang masih baru dibuka setahun dua ini terletak hanya
bersebelahan dengan Pasar Payang dan Bukit Puteri serta mengadap muara
Sungai Terengganu. Bangunan 2 tingkat ini mempunyai lot-lot kedai yang
khusus untuk menjual produk fabrik tempatan seperti batik Terengganu,
sutera dan songket. Terdapat juga kedai yang menjual barangan
cenderahati dan hasil kraftangan yang lain. Melihat pemandangan sungai
dari tingkat dua terutamanya pada petang hari ketika angin bersepoi
memang terbaik.
Kg Rusila, Rhu Rendang & Kelulut
– 3 Kampung ini terletak di antara jalan besar Kuala Terengganu –
Kuantan yang hanya kira-kira 20-30 minit memandu dari bandar Kuala
Terengganu. Di sepanjang jalan di 3 kampung ini anda boleh berjumpa
dengan banyak kedai-kedai yang menjual produk kraftangan terutamanya
yang dihasilkan dari rotan, buluh dan daun mengkuang. Antara produk
ialah tikar, kerusi rotan, bubu, tudung saji, gayung dan sebagainya. Di
Kg. Kelulut juga banyak tempat yang menjual produk hasil laut seperti
keropok lekor, keropok keping, sotong kering & ikan kering.
6. Tempat Makan Best di Terengganu
Negeri
Terengganu terkenal dengan banyak menu makanan yang sedap-sedap yang
boleh anda cuba seperti nasi dagang, keropok lekor, ikan singgang,
sotong sumbat/ketupat sotong, ikan celup tepung, nasi lemak ikan
tongkol, laksa Terengganu, sata, otak-otak, pais dan sebagainya. Kalau
bercakap bab kuih muih pula, memang banyak juga pilihan dengan nama-nama
yang sungguh eksotik seperti kayu keramat, kuih ulat bulu, tok aji
serban, nganang, tepung gomok, asa gupal, pulut lepa dan sebagainya.
Berikut merupakan beberapa restoran atau tempat makan menarik di
Terengganu yang boleh anda dapatkan
makanan tradisional Terengganu seperti di atas.
Nasi Dagang:
Anda boleh mencuba sarapan pagi nasi dagang di 4 kedai ini yang popular
dengan nasi dagangnya dan saling bersaing antara satu sama lain dari
segi kemahsyuran seperti Manchester City, Manchester United, Chelsea
& Arsenal.
- Warung Nasi Dagang Kak Jah – Terletak di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu
- Warung Nasi Dagang Kak Pah – Terletak di deretan food court Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu
- Restoran Nasi Dagang Mak Ngah – Terletak di antara jalan bandar Kuala Terengganu – Chendering berdekatan dengan Masjid Sultan Ismail
- Warung Power/ Warung Nasi Dagang Pok Din – Terletak di Bandar Dungun, Dungun.
Keropok Lekor: Destinasi untuk beli keropok lekor memang banyak di Terengganu. Berikut merupakan destinasi popular yang boleh anda terjah:
- Keropok Lekor BTB 2209
– Terletak di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir. Selain keropok
lekor biasa anda juga boleh beli keropok lekor edisi keju, lada hitam
dan juga bawang.
- Keropok Lekor Kg Losong –
Kampung Losong memang popular sebagai destinasi borong keropok lekor.
Banyak gerai di sini yang mempunyai peminat-peminat tersendiri. Rasa
dulu sebelum borong.
- Keropok Lekor Seri Sura –
Kalau di Dungun anda boleh ke sini untuk mendapatkan pelbagai jenis
keropok dan juga produk hasil laut yang disejukbeku. Kedainya yang
berlokasi di Jalan Pantai Sura, Kuala Dungun boleh dikatakan kedai
keropok terbesar di Terengganu.
- Kampung Geliga –
Lokasinya berdekatan Bandar Chukai di Kemaman dan tidak jauh dari
sempadan negeri Pahang. Banyak gerai-gerai yang boleh anda singgah kalau
on the way ke Kuantan/ KL.
- Keropok Lekor Mengabang Tapah – Kedai ini terletak di Kampung Pantai Merang, Setiu beberapa Km sebelum samapai di Jeti Merang.
- Keropok Lekor 008 Kelulut – Kedainya terletak di antara jalan utama KT-Kuantan di Kampung Kelulut, 4 km selepas Bandar Marang.
- Keropok Lekor Sukaramai
– Terletak di Kampung Mengabang Lekar, Batu Rakit yang berada di
tengah-tengah perjalanan kalau menuju ke Jertih melalui Jalan Pantai.
Sata, otak-otak, pais & pulut lepa:
4 jenis makanan ini memang popular di Terengganu terutamanya di Kampung
Geliga, Kuala Kemaman. Terdapat beberapa restoran/warung di sini yang
menjadi pilihan penduduk setempat untuk makan-makan santai di waktu
petang.
- Warung Otak-Otak Che Wan: Terletak
di Kuala Kemaman berdekatan dengan simpang ke Pantai Mak Nik. Banyak
pilihan makanan santai yang ada di sini dan yang paling menjadi kegilaan
pengunjung ialah otak-otak dan satanya.
- Warung Aziz Satar
– Terdapat dua Kedai Aziz Satar di sini yang terletak juga di Kuala
Kemaman dan tidak jauh antara satu sama lain. Warung ini merupakan
pesaing paling sengit untuk Warung otak-otak Che Wan.
Lauk Pauk Terengganu
– Kalau anda nak makan tengahari dengan lauk pauk Terengganu, ada
beberapa restoran yang popular yang boleh anda cuba di sekitar
Terengganu.
- Restoran Kuah Singgang –
Singgang merupakan lauk yang sangat sinonim dan di sini anda boleh
dapatkan pelbagai jenis lauk singgang seperti daging, sotong, ikan dan
sebagainya.
- Restoran Mat Binjai – Restoran yang
terletak di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu ini agak kecil dan
biasa-biasa sahaja namun kalau anda mencari lauk pauk orang Terengganu
yang sedap, sangat dicadangkan untuk singgah di sini.
- AZ Selera Timur – Restoran ini terletak di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu dan menyajikan pelbagai jenis lauk pauk yang banyak untuk dicuba.
- Restoran Ani Selera Kampung
– Restoran ini terletak di Kuala Kemaman dan mempunyai berderetan lauk
pauk pantai timur. Sering menjadi pilihan orang setempat untuk makan
tengahari berlaukkan selera kampung.
Ikan celup tepung (ICT)
memang tidak dapat dipisahkan dengan rakyat jelata orang Terengganu.
Kalau seminggu tak pekena ICT, lidah orang Terengganu boleh berubah
cakap KL. Berikut merupakan destinasi popular untuk menu ini.
- Pantai Mengabang Telipot
– Destinasi ini terletak kira-kira 30 minit dari bandar Terengganu dan
mempunyai beberapa warung yang menyajikan menu ICT samaada ikan kembung,
ikan pari, keropok lekor & makanan santai lain. Antara kedai yang
popular di sini ialah Warong Pok Nong & Warung Adik Beradik (Sri
Kolam).
- Pantai Teluk Ketapang/ Pantai Airport –
Destinasi pantai rekreasi ini terletak di area Seberang Takir
bersebelahan dengan Airport Telaga Batin kira-kira 20 minit memandu dari
bandar KT. Antara warung yang popular di sini ialah ICT Hj Pok Long,
Firdausy Seafood Corner & beberapa lagi yang tidak kurang
menariknya.
- Pantai Pandak – Terletak di
Chendering terdapat satu warung kecil yang popular di kalangan orang
setempat untuk makan ICT. Lokasinya berdekatan dengan pendaratan ikan di
Chendering pasti memberi menu makanan yang segar-segar untuk digoreng
tepung.
- Pantai Penarik/ Pantai Rhu 10 – Kalau
anda menuju ke Kelantan melalui Jalan Pantai, bolehlah singgah di Pantai
Penarik yang mempunyai banyak gerai yang menghidangkan ikan celup
tepung seperti Gerai Hasnik Seri Menantik dan sebagainya.
- Pantai Dungun – 3
minit perjalanan dari Bandar Dungun, anda boleh menjumpai beberapa
gerai yang menjual ICT di sepanjang pesisir Pantai Teluk Lipat-Pantai
Teluk Gadong. Antara warung yang popular di sini ialah Kedai Pink House
d’patta.
- Pantai Kelulut – Mempunyai beberapa
warung/gerai yang menghidangkan makanan santai ICT pada waktu petang,
anda juga boleh ke medan ikan bakar di Kelulut pada waktu malam untuk
menjamu sotong celup tepung.
Tempat untuk beli kuih muih tradisional Terengganudi Terengganu:
- Kedai Kuih Gong Kapas – Merupakan
one stop centre untuk mereka yang mencari kuih muih tradisional
Terengganu. Terletak di Kampung Gong Kapas dan hanya 5 minit memandu
dari Pantai Batu Buruk atau Bandar Kuala Terenganu.
- Gerai Kuih Che’ Tar –
Terletak di dalam Bandar Kuala Terengganu di Jalan Sultan Sulaiman.
Pelbagai aneka kuih muih tradisional ada dijual baik untuk sarapan pagi
atau untuk tempahan kenduri kendara.
- Pasar Besar Kedai Payang – Di bahagian kuih muih di dalam pasar, anda boleh mencari beberapa gerai yang menjual kuih muih tradisional.
- Pasar Chabang Tiga & Pasar Bukit Besar
– 2 pasar kecil ini terletak tidak jauh dari Bandar KT. Anda juga boleh
mencari pelbagai kuih muih dan makanan orang Terengganu di sini baik
kuih muih ataupun makanan berat.
- Pasar Batu 6 –
Kalau anda dari Bandar KT menaiki Jambatan Sultan Mahmud menuju ke
Kelantan, anda akan jumpa pasar ini di roundbout Batu 6 sebaik habis
perjalanan Jambatan Sultan Mahmud.
Itulah dia serba sedikit untuk
rujukan anda tentang tempat menarik di Terengganu yang boleh dilawati.
Semoga memberi anda sedikit idea mana nak pergi kalau dah bercuti ke
Negeri Cantik Budaya Menarik InsyaAllah Rakyatnya Baik-Baik. Sila SHARE
dengan orang-orang kampung ye. Wassalam.
sumber :https://www.caridestinasi.com/senarai-tempat-menarik-di-terengganu/